Pages

Friday, July 19, 2013

Kasih Allah : Bubur Lambok Bukit Chandan

Petang ni rasa kurang sihat, macam nak semput je. Baring atas sofa, selimut dan diam-diam kat situ. Apa nak makan berbuka ni? Dah jam 6 paksa diri  untuk keluar ke depan taman. Rasa nak pusing stereng keta pun dah tak larat.
Tiba-tiba hp berdering...
"Kak Ti kat mana? Saya nak hantar bubur lambok ni..."
Terima kasih Ya Allah..
Maha Kasih Allah, sedikit kebaikan yang pernah kita lakukan, dibalas oleh Yang Maha Kuasa tepat pada saat kita benar-benar memerlukannya...
Terima kasih sahabat/adikku JC kerana susah payah menghantar bubur lambok dari Bukit Chandan ini.
Semoga Allah memberkati hidupmu.

Thursday, July 18, 2013

Epal Cameron

Epal ini ditanam di Stesen Mardi Cameron Highland.
 Waktu ke sana baru-baru ini, buahnya hanya tinggal 2-3 biji. Baru selesai musim tuaiannya. Tak kisahlah apa yang ada ini memadai untuk kenangan. Lain kali boleh datang lagi.


Sunday, July 14, 2013

Torpedo Hijrah

Kagum sungguh tengok kawanan burung hijrah ini. Saya namakan sebagai Torpedo Hijrah ini sebab nama sebenar burung-burung memang tak tahu dan tengoklah gaya meluncur tu...

Tak tahu dari negara mana dan hendak ke mana.
 Kawanan torpedo ini singgah di kampung kami sejak Februari hingga sekarang. 
Pada awal singgahan mereka, jumlah tidaklah sebanyak ini. 
Juga pada awalnya memang liar tetapi akhir-akhir ini sudah agak jinak dan sudah tidak takut pada bunyi enjin traktor.
Satu faktor kawanan ini kekal agak lama mungkin banyak makanan dan tidak ada gangguan daripada penembak curi.
Petani memang suka kalau kawanan ini singgah ketika padi sedang membiak sebab burung-burung ini akan makan perosak padi, ulat dan siput gondang emas.
Saya anggap pagi 5 Ramadhan ini membawa keberuntungan buat saya sebab dapat tengok dan dapat snap kawanan yang jumlahnya dianggarkan tak kurang daripada 400 ekor.
Kalau berdasarkan saiznya, setiap ekor dalam lingkungan 1 kg beratnya atau mungkin lebih.
Namun, nama juga burung hijrah, singgahan mereka tidak akan lama. Padi mula membesar, kawanan ini akan mula beredar mencari destinasi lain untuk singgah dan mencari makanan.
Kualiti gambar kurang memuaskan Ternampak je kawanan ini, saya terus berhentikan kereta dan snap je, tak sempat nak setting kamera betul-betul. Refleksi burung-burung ini terlalu cepat.

Thursday, July 11, 2013

Teman Pagi Padi

Seronok menikmati udara pagi  di kampung yang di kelilingi sawah. Segar menghijau. Sambil berjalan ditemani Bulat, pokok-pokok padi yang sedang menghijau diperhati. Ada sesuatu yang menarik sedang menyembunyikan diri di celah-celah daun. Cuba melarikan diri dari lensa kamera. Tapi jari yang lebih pantas, embun yang belum kering juga membantu melambatkan pergerakan binatang-binatang kecil dan comel ini.

Teringat masa kecil, pagi-pagi begini, arwah ayah selalu mengajak kami berjalan-jalan sambil tangkap belalang untuk dibuat umpan mengail ikan puyu. Kami akan bawa tin yang tutupnya dilubang-lubangkan sebagai bekas mengisi belalang.
Ternampak pula kelibat si kumbang kecil berwarna oren ini. Terkedek-kedek cuba menyorok di belakang daun padi. 
Kecil dan comel sangat. Untuk tidak terus menakutkan si comel, lensa ditukar. Zoommmmm, tapi tak dapat sebesar mana pun sebab si comel  ini terlalu kecil. 
Ternampak pula bergayutan sang labah-labah yang menghuni pokok-pokok padi. Kebanyakan sarang labah-labah ini dah pecah akibat tiupan angin yang agak kuat. 
Di mana pun saya merantau, hati tetap di sini.....

Tanya sama padi .. apa sebab goyang
Nanti jawab padi ... angin yang goncang
Tanya sama hati ... apa sebab sayang
Nanti jawab hati .. kamu putri bendang

Terima kasih kerana sudi singgah di entri Phee Ti ini.